Seruan 'memerahkan' PJ semakin berkumandang di segenap pelusuk Malaysia. Seperti lazimnya,Pihak Polis sudah mengeluarkan amaran 'keras' kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak terlibat dengan perhimpunan 'haram' ini lantaran boleh mengancam ketenteraman awam,mengakibatkan ketidakselesaaan dan kesesakan lalulintas.Alternatifnya, Datuk Khalid Abu Bakar,Ketua Polis Selangor mencadangkan agar lokasi perhimpunan ditukar ke stadium-stadium yang sedia ada seperti Stadium Melawati atau Shah Alam.
Bagi saya saranan dan kebimbangan Khalid itu ada benarnya. Selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sememangnya tertanggung di beban mereka 'amanah' yang cukup besar. Namun demikian dari perspektif semangat demokrasi saya merasakan sepatutnya pihak polis turut memahami kehendak dan kekecewaan rakyat. Hak untuk berhimpun dan bersuara sudah dijamin di bawah perlembagaan negara kita. Ditambah lagi dengan akibat kenaikan harga minyak seperti kenaikan harga barang, menambahkan lagi derita rakyat bawahan. Sudahlah harga minyak naik di negara sendiri yang mempunyai simpanan minyak dan antara pengeksport minyak di dunia, kemudian mengalami kenaikan harga barang ditambah lagi dengan hak rakyat ini yang seringkali diragut sewenang-wenangnya.Dalam hal ini, sepatutnya polis membantu rakyat mengurangkan penderitaan bukan menambahkan lagi kesakitan yang semakin pedih ini.
Kecuali Polis sudah terperangkap dalam permainan politik dan hanya menentang perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang sahaja.Lihatlah siri-siri perhimpunan yang pernah dianjurkan oleh pihak-pihak yang sememangnya 'penjilat' kerajaan khususnya Umno/BN seperti yang pernah berlaku di Pulau Pinang terhadap kerajaan PR dan Selangor dalam kes babi dahulu kala.Saya kasihankan kepada tenaga-tenaga polis yang kadang-kadang boleh mencecah ribuan yang digerakkan semata-mata untuk 'melawan' perhimpunan dan demonstrasi anjuran pihak pembangkang .Ditambah lagi dengan puluhan trak polis dan FRU berbaris di tepi jalan seolah-olah nak menangkap 'pengganas'.Yang sebenarnya tindakan polis itulah merugikan polis sendiri dan menakutkan rakyat! Alasan yang kerap kali diratib iaitu perhimpunan haram dan mengancam keselamatan negara.Bagi saya,dari raut wajah pak-pak dan mak-mak polisi, mereka seolah-olah menampakkan mereka berada dalam dilema sama ada untuk melawan rakyat yang sebahagian besar pendapatan mereka datang daripada cukai rakyat ataupun mengikut arahan bos -bos mereka yang hidung mereka sudah diikat pada politik parti pemerintah.Saya bukanlah menembak rambang dalam hal ini.Ada pengalaman dalam siri-siri demo sebelum ini melihat sendiri ada sebahagian polis memberikan sokongan dengan melaungkan sendiri jeritan-jeritan para demonstran di jalanan.
Berilah peluang dan ruang bagi kami menyampaikan ketidakpuashatian secara baik dan aman.Penganjur PROTES, sekretariat terutamanya adalah golongan bijak pandai yang sudah arif dan ahli dalam bab-bab pengurusan demo apatah lagi perhimpunan semacam ini.Dr Hatta Ramli,S Arutchevalan dan lain-lain lagi sememangnya sudah sinonim dengan siri-siri demo sebelum ini. Sesungguhnya mereka pasti bersedia dengan pelbagai perancangan untuk pengawalan lalulintas termasuk keselamatan dan flow perhimpunan berbekalkan pengalaman-pengalaman lepas.Unit AMAL sendiri sudah terbukti kredibiliti mereka dalam mengendalikan siri-siri demonstrasi sebelum ini. Sekiranya perlu,kerjasama yang lebih erat dan terancang boleh diadakan antara unit AMAL dan pihak polis bagi mengawasi lalulintas dan ketenteraman awam. Saya yakin dan percaya sekiranya polis dapat bersikap terbuka dan professional, kepercayaan rakyat terhadap badan ini pasti boleh dikembalikan Sekiranya alasan seperti kesesakan lalulintas dijadikan alasan utama, ia bukan sahaja menjemput cemuhan rakyat malahan menjijikkan lagi badan berkuasa itu di hati rakyat sendiri.
Tak percaya?Lihatlah sediri acara-acara yang dirancangkan pada Ahad ini. Tunjukkanlah di mana usaha-usaha yang berbentuk subversif yang boleh mengancam keselamatan awam kecuali ada usaha dan niat jahat pihak yang berhati busuk terhadap kemaraan PR sendiri.Jadinya, bagi sesapa yang masih lagi mempunyai hati yang suci yang dapat merasai tangisan dan hibaan rakyat,anda sewajibnya menyertai dan memerahkan PJ Ahad ini.Niat yang datang dari hati yang bersih dan suci sewajarnya tidak akan tergugat dengan apa jua halangan sekalipun.Bukankah kita dituntut untuk menjadi Ummat Nabi dengan mengambil cakna urusan umatnya?
Acara Himpunan PROTES 6hb Julai 2008, Padang Timur (Hadapan Amcorp Mall), Petaling Jaya, Selangor
10.30 pagi : Persembahan Kebudayaan Drum India
11.00 pagi : Persembahan Muzik Politik
11.30 pagi : Persembahan Kompang
12.00 tghari : Ucapan-ucapan dari wakil PROTES
1.00 petang : Solat Zohor
2.30 petang : Muzik 'Duriridu'
3.00 petang : Persembahan Nasyid
3.30 petang : Persembahan Dikir Barat
4.00 petang : Persembahan Muzik Politik
4.30 petang : Ucapan-ucapan dari Menteri-Menteri Besar PR
6.00 petang : Persembahan Dikir
7.00 petang : Solat Maghrib dan Solat Hajat
8.15 malam : Persembahan Teater dari wakil Kg Berembang
8.40 malam : Persembahan Muzik Politik
9.00 malam : Pidato
p/s Bagi sapa yang nak menyertai tsunami merah tapi tak da baju boleh klik sini.Bagi sapa yang nak order pun boleh juga.Selagi stok masih ada.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment