Showing posts with label Fikrah Kita. Show all posts
Showing posts with label Fikrah Kita. Show all posts

Thursday, October 29, 2009

MERENUNG KEBIJAKSANAAN ALMARHUM USTAZ FADZIL NOOR


Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN

 Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum. Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang buka Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem. 

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas. 

Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.

Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.

Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni seerah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul . Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay namun Rasulullah s.a.w enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah s.a.w menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu. 

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.

Tuesday, July 29, 2008

Simpati saya kepada ISTAC!


“Aku, surga dan tamanku ada di dalam dadaku, ke mana pun aku pergi ia selalu bersamaku, tidak meninggalkanku. Jika aku dipenjara, bagiku itu adalah khalwah. Jika aku dibunuh, bagiku itu adalah syahadah. Dan jika aku diusir dari negeriku, bagiku itu adalah siyahah, jalan-jalan.”

-Syaikhul Islam Ibn Taimiyah-


Sahabat saya mengungkapkan keperitan ISTAC dan kekecewaan beliau tehadap politikus-politikus yang bernafsu serakah yang telah meruntuhkan ISTAC bermula dengan penyingkiran Guru beliau serta pengikutnya dari ISTAC.Bagi sesiapa yang tidak tahu ISTAC adalah akronim dalam BI kepada Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Saya yakin bahawasanya pembatalan perlembagaan dan penyingkiran Pengasas ISTAC semestinya menjadi satu igauan ngeri kepada pemkir-pemikir islam di UIA dan di seantero dunia.Bagi saya sendiri selaku individu yang tidaklah rapat seperti sahabat saya ini dengan ISTAC,namun kedzoliman politikus seperti itu amat-amat ditentang dan wajar dibanteras kerana inilah yang akan berlaku apabila orang gila memegang kuasa!


Makanya tidaklah saya terkejut apabila tindakan penyingkiran Prof. Syed Naquib al-Attas itu diusahakan oleh individu seperti Tan Sri Sanusi Junid dan kroni-kroninya dan wajarlah balasan yang sama ditimpakan kepadanya pada mutakhir ini dan mungkin wajar lebih dari itu!.Lantaran itulah yang akan terjadi apabila golongan yang tidak senang hati dengan gerakan yang cuba memartabatkan Islam di mana-mana walaupun ia dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) sendiri!Ini kerna golongan seperti itu telah memilih cara politik yang bukan lahir dari Islam sendiri tetapi bersama dengan golongan taghut yang memisahkan Islam daripada politik!Hal ini bukan sahaja menjangkiti golongan pemimipin atasan tapi ia telah didoktrinkan secara paksa kepada segenap lapisan masyarakat.Maka janganlah hairan sekiranya masyarakat kini tidak ambil cakna malahan menolak usaha 'islamisasi' !maka akan keluarlah kata-kata jangan gunakan agama untuk kepentingan politik, jangan politikkan masjid,mana ada perkiraan dosa dan pahala dalam undi dll.


Berkata Abu Abdillah al-Qala’i as-Syafir rahimahullah:

"“Keseimbangan urusan agama dan dunia adalah satu tujuan yang sangat diidam-idamkan. Hal ini tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya penguasa (pemimpin). Kalau kami tidak memandang wajib adanya penguasa, pasti hal ini akan menyebabkan manusia berada di dalam perselisihan dan kerusuhan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat. Kalau manusia tidak mempunyai pemimpin yang kuat dan ditaati, pasti akan pudar kemuliaan Islam lalu lenyap tak berbekas. Jika umat tidak mempunyai penguasa yang berdaulat, pasti akan lenyap aktiviti-aktiviti ibadah dan terhentilah perdagangan impot-eksport” .

(Lihat: Tahzib ar-Riysah. Hlm 95. Lihat: Majmu al-Fatawa 27/390. Ibn Taimiyah)


Imam Al-Ghazali dalam Ihya lumuddin pernah mengungkapkan ;


" dunia adalah ladang akhirat, agama tidak akan sempurna kecuali dengan dunia. Penguasa dan agama adalah kembaran. Agama adalah tiang dan penguasa adalah penjaga. Sesuatu yang tidak punya tiang akan rubuh dan sesuatu yang tidak dijaga akan hilang."


Tak usahlah saya syarah panjang dalam entry ini kerna pernah saya ulas perihal ini di masa-masa lalu.Namun demikian,suka saya kongsi peristiwa yang lebih menyayat hati untuk kita renungi.Apakah kita masih ingat di kala PAS memenangi dan mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1990, pada masa itu Tok guru sebagai MB telah ditinggalkan tanpa sesen pun untuk pengurusan kerajaan Kelantan.Bahkan bukan itu sahaja, Kerajaan pusat telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan(JPP) yang menjadi saluran wang PUSAT untuk kononnya pembangunan di Kelantan.Inilah namanya kerajaan dalam kerajaan.Tak cukup dengan itu,Geran bantuan pusat yang wajib diberikan tahunan kepada setiap kerajaan negeri di Malaysia ini seperti yang termaktub di bawah perlembagaan telah dilambat-lambatkan malahan ada yang dinafikan kepada kerajaan negeri.


Saya bukanlah selayaknya orang yang berbicara soal perjuangan sebab saya belum lagi diuji dengan sedemikian rupa.Tetapi PAS selaku gerakan Islam,ahli-ahlinya sudah teruji malahan ada yang sampai diusir dari tempat sendiri,dipenjarakan malahan dibunuh.Peristiwa hitam Memali masih lagi segar dalam ingatan ahli-ahli sendiri.


Kalau nak kata berjuang,inilah perjuangan!


Saya suka mengingatkan diri saya sendiri dan sahabat-sahabat untuk kita sama-sama berdoa agar dikekalkan dalam jalan perjuangan ini dan istiqamah mudah-mudahan.Dan saya menyeru juga untuk sama-sama kita memahami dan berganding bahu bahawasanya antara musuh kita ialah penyakit sekularisme yang meruntuhkan nilai kenegaraan,siasah,nilai hidup dan adab masyarakat seluruhnya!


"Memukul sekeras-kerasnya ketika jadi palu dan menahan sekuat-kuatnya ketika menjadi landasan."

Wallahua'lam.


Wednesday, July 23, 2008

Ah,pedulikan apa orang kata!

Polemik muzakarah PAS-UMNO sememangnya cukup hangat diperkatakan di segenap lapisan masyarakat.Menyedari ia adalah melibatkan dua parti Melayu terbesar yang berlainan prinsip dengan satunya memperjuangkan ketuanan Melayu manakala yang satu lagi memperjuangkan ketuanan Islam. Semestinya ia menarik perhatian dan melibatkan kemungkinan perubahan politik sekiranya ada hasil daripada muzakarah itu nanti.



Pelbagai andaian-andaian yang sengaja diketengahkan seolah-olah bagi menjawab pelbagai persoalan yang timbul di benak kepala terutamanya di peringkat bawahan.Baik andaian yang membawa teori komplot membabitkan pimpinan tertinggi PAS yang berusaha bukan sahaja mendekatkan jurang malahan memasukkan PAS ke dalam lubang yang diselaputi oleh UMNO sendiri seolah-olah mengulangi peristiwa kemasukan PAS sebelum ini. Tak cukup dengan itu,antara yang dipersoalkan kenapa PAS terhegeh-hegeh nak masuk UMNO?Semestinya hal ini bakal mengundang marah yang amat sangat daripada penyokong-penyokong PAS yang zahir mahupun batin.Kemudian,ada satu lagi pihak lain membawa dakwaan liar yang menyatakan PAS akan keluar daripada Pakatan Rakyat dan bersama-sama dengan UMNO/BN sendiri. Tak payah saya nak ulas satu persatu perihal ini.Saya cadangkan anda meneliti satu analisis yang cukup baik yang ditulis oleh Ustaz Nik Abduh sendiri yang boleh kita -renungkan.



Saya teringat pengisian yang disampaikan oleh naqib saya sendiri,Ustaz Zulkifli Ahmad Al-Pandani . Saya tertarik dengan kenytaan beliau yang ingin saya quote kan di sini;

"Saya setuju dengan pendapat Tuk Guru Nik Aziz tetapi tidak membantah pendapat Tuk Guru Haji Hadi!"

Fikrah yang cuba ditanamkan oleh beliau ialah kita selaku ahli gerakan yang berintima' sepenuhnya dengan jamaah telah disemai dan dididik dengan sifat wala',intima' dan thiqah.Di sinilah ahli-ahli gerakan teruji dengan propaganda2 yang cuba dimainkan oleh musuh2 Islam sendiri.Apakah kita lupa kerna adu domba para munafiq kepada ummul Mukminin Aisyah R.A. yang mana dakwaan yang mengatakan beliau bermukah dengan seorang shbat baginda ketika mana beliau tercicir daripada tandu beliau dan rombongan Baginda dalam satu peperangan?RasulLullah seperti yang dikisahkan dalam sirah sebulatnya menyerahkan kepada Allah SWT?
Apakah kita lupa?

Dalam hal ini sewajibnya bagi mana-mana ahli gerakan jangan cepat terlatah dan terpengaruh dengan jarum-jarum halus pihak musuh.Siapalah kita kalau nak dibandingkan dengan tahajud dan istikharah Tok Guru Nik Aziz dan TG Haji hadi?Sapalah kita nak dibandingkan dengan kapabiliti dan ketinggian ilmu mereka dalam segenap hal yang ada pada ahli-ahli syura?

Dalam hal ini benarlah seperti yang pernah disabdakan oleh Baginda dalam satu hadis berbunyi;

"Tiada islam tanpa jemaah.Tiada jemaah tanpa pimpinan.Dan tiada pimpinan melainkan dengan ketaatan"

Maka marilah sama-sama kita menguatkan keyakinan kita terhadap pimpinan dan menjalankan kewajipan sebagai ahli dan dalam masa yg sama memanjatkan doa kepadaNya agar Allahlah yang menyelamatkan jemaah di saat-saat seperti ini!Bukankah tangan Allah bersama-sama dengan jemaah!?

Wednesday, March 26, 2008

HAQ VS BATHIL(SYAITAN)Terkini!


Doa Tragedi Ta'if:


"Allahummahdi Qaumi.Fai'nnahum la ya'lamun"


Ya Allah,berilah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak tahu.


Sumbangan:Akh Fuad





MASA LAMPAU

Pertentangan hak dan batil sudah lama berlaku.Ketika mana penciptaan Adam A.S. dan dimuliakan Allah lalu menitahkan para malaikat dan iblis yang taat setia sujud kepada Adam.Malaikat sebaik makhluk akur atas perintah Allah.Tetapi Iblis yang asalnya api dengan angkuh dan bongkak menentang perintah Allah.Peristiwa bersejarah pertama dalam Sejarah manusia menyaksikan permulaan pertentangan Hak dan Batil membabitkan manusia sudah bermula.

Namun,disusuri sejarah manusia lampau,sirah nabi-nabi terdahulu menyaksikan kesinambungan pertentangan Hak dan Batil yang tidak berkesudahan. Namun,kali ini pelakonnya berbeza.Ia antara manusia VS manusia(syaitan memang musuh yang NYATA!). Manusia yang berada di Barisan Haq dinaungi oleh Allah dan RasulNya manakala Barisan Bathil yang dinaungi oleh Iblis dan syaitan. Nabi Musa , Bani Israil dan Firaun,Nabi Ibrahim dan Namrud dan tidak terkecuali “ khatimul anbiya’ ” Nabi Muhammad SAW dengan kaum kafir Quraisynya. Semua yang batil hanyalah ditipu oleh setan2.

Contoh penipuan setan pada asalnya kewujudan berhala .Pada mulanya, kaum musyrikin tadi bukannya menyembah batu berhala secara zatnya. Akan tetapi, patung-patung berhala tersebut adalah merupakan ukiran wajah orang-orang soleh sewaktu zaman nenek-moyang mereka dahulu kala. Apakah dalilnya? Rujuk surah Nuh 71, ayat 23.

Ibnu Abbas menafsirkan berikut yang boleh didapati dalam Sohih al-Bukhoriy yang bermaksud: "Ini semua (Wadd, Suwaa', Yaghuts, Ya'uuq dan Nasr) adalah nama-nama orang soleh dari kalangan kaum Nabi Nuh AS. Tatkala mereka semua wafat, syaitan mencetuskan idea kepada kaum mereka supaya mendirikan patung-patung (berukirkan wajah mereka yang telah wafat tadi) dalam majlis-majlis yang sebelum ini mereka turut hadir bersama. Demikian juga, hendaklah mereka menamakannya sebagaimana nama mereka yang asal. Lantas, mereka merealisasikan idea tersebut. Namun, tidak pula sampai mereka menyembahnya. Sehinggalah mereka itu meninggal dunia dan ilmu semakin dilupakan, akhirnya patung-patung tadi disembah (oleh generasi selepas mereka)."

Ini memang kerja dan janji setan untuk sesatkan manusia.Apakah kita lupa pengakuan setan ?





Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekedar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu." Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih.


(14:22 )


MASA KINI

Masa kini dan lampau ada hubungannya.Skrip yang sama barangkali.Pelakon layarnya yang berbeza.Mungkin ‘backdrop’ beza banyak. Apa-apa pun jalan ceritanya sama.Golongan yang haq pasti ada.Yang bathil akan terus menentang.Kenapa Ya?Itu sudah JANJI SETAN.Allah kabulkan permintaan setan.

Bumi UTP tak kurang hebatnya.Golongan yang ikut petunjuk Allah dan Rasulnya sememangnya dijagai Allah. Dalam barisan Haq. Sapa yang ikut selainnya,Setan mengekorinya dan memujuk2nya dan mengkaderkan ia menjadi pejuang barisan Bathil. Maka ia akan menjadi Pendokong Golongan Setan.

BANNER

Mengapa apabila Banner “Hati” itu dipangkah baru kita buka mata?Itu hanya BANNER dan TIDAK BERNYAWA! Kenapa nak tunggu tindakan fizikal baru pihak pengurusan membuka langkah mencari penyelesaian?Kenapa tak lihat “ORANG” encik puan sekalian? Muda-mudi UTP khususnya pemuda Islam sudah lanyak “dipangkah” dengan lambakan ancaman seperti SOSIAL,HEDONISME, ANANIYAH,DLL. tidak pula diambil tindakan.

Saya tak hairan.Orang kita buka pusat nampak aurat,orang berkuasa ‘tutup mata,buat2 tak nampak’. Masalah “couple haram” dibiarkan berleluasa malahan digalakkan pula sebab tiada usaha pencegahan. Usaha mendidik dikatakan tak berhikmah. Main muzik tanpa syariat dah jadi amalan UMMAT!Malahan diiktiraf amalan tahunan.Maka tidak hairanlah kalaulah Banner Islam menjadi matlamat lantaran diri sudah tidak punyai syariat.

PESANAN

Sama-sama kita ingatkan.Kita berlawan dengan syaitan,musuh nyata bagi manusia seluruhnya sejak dari zaman manusia pertama di dunia,Nabi Adam AS hinggalah kepada manusia yang terakhir di dunia kelak. Siapa yang mahu selamat dan petunjuk,maka carilah Allah lantaran janjinya BENAR dan pasti.Tetapi,siapa yang mahu janji palsu,sementara di dunia sahaja sudah pasti dia hanya mahukan keseronokan alam fana ini dan kelak menjadi pendokong golongan Bathil.Allah Suka, Syurga balasannya.Allah benci,neraka tempatnya.Nau’zubillah Min Dzalik.


Kepada sahabat2ku di EUPHONIOUS, daku tidak membencimu sedikitpun,akan tetapi sebagai seorang muslim yang mahukan keselamatan diri dan ke atas kamu,daku mengajak kamu bersama2 ke arah Keselamatan duniawi wa ukhrawi yang kekal abadi!



Satu soalan untuk anda, Di PIHAK manakah ANDA?



SELAMATKAN ISLAM DI UTP!

Tuesday, March 11, 2008

Era Kebangkitan Islam?


Pasca PRU-12 menyaksikan jatuhnya pemimpin-pemimpin zalim dan jatuhnya beberapa negeri ke tangan pembangkang.Manakala Parti Islam menambah satu lagi negeri di hujung tanah air,Kedah Darul Aman,InsyaAllah.

Dalam senario yang lain pada 11 Mac 2008 turut menyaksikan kemenangan seorang wakil beragama Islam yang juga seorang muallaf,Andre Carson wakil daerah ketujuh di Indianapolis, negara pakcik Sam itu. Beliau memenangi kerusi itu lantaran kematian neneknya,Julia Carson akibat penyakit kanser.Beliau yang mewakili Demokrat memenangi pilihanraya kecil itu dengan majoriti 5000.



Andre Carson


Keith Ellison

Sebelum ini,hanya seorang sahaja wakil rakyat Muslim dalam Kongres Amerika dari parti Demokrat,Keith Ellison.Mudah-mudahan gabungan dua wakil muslim ini dapat menanggapi pandangan negatif masyarakat US yang phobia terhadap muslim dan seterusnya memperjuangkan masyarakat muslim di sana.Manalah tahu ini mungkin titik kebangkitan Islam di Barat!
AllahuAkbar!

Rujukan:

Monday, March 10, 2008

Senario PRU-12 N.07:Post Agenda




Minta maaf saya hulurkan kerana terlewat hampir 3 hari untuk melunaskan janji saya dalam posting saya yang lepas.Walau bagaimanapun saya rasa semuanya sudah maklum tentang keputusan PRU di N.07 dan P.94.Takpe,saya ada sikit pertambahan berkaitan keputusan kali ini.

Pada petang 8 Mac iaitu pada hari yang sama kita membuang undi,lebih kurang pukul 6 pm, saya bersama ayah saya telah pergi ke tempat kami membuang undi tadi.Sekadar ingin meninjau suasana dan mungkin boleh mengetahui keputusan pengiraan undi yang dilakukan di tempat yang sama.
Setibanya kami di sana, kami mendapati tidak ramai orang berkumpul di hadapan pusat pengundian tadi. Kemudian kami menyertai satu perbincangan yang tidaklah berapa hangat 'ala-ala kedai kopi 'di sebuah 'bus stop' yang betul-betul berhadapan sekolah tersebut. Dalam kumpulan sembang-sembang itu ada beberapa penyokong BN dan PKR.

Apa yang saya perhatikan yang lebih mendominasi perbincangan itu adalah seorang lelaki India yang saya rasa adalah penyokong PKR.Yang lain termasuklah penyokong BN sendiri mengangguk-angguk lemah tanda setuju.Bagi saya dia lebih berani dari yang lain dalam mengutarakan pendapat walaupun agak pedih diterima oleh penyokong BN sendiri. Antara hujah yang saya ingat;

"Kalaupun BN nak perintah,kena mau ingatlah sedikit turun itu harga barang,baru rakyat boleh percaya"


Saya agak kebanyakan pengundi india seperti dia ini adalah rakyat yang membuang undi protes yang mengakibatkan kekalahan besar dan menafikan 2/3 majoriti BN dalam parlimen. Kebetulan saya duduk sebelah seorang petugas BN yang tertera di jaket hitamnya "Unit Keselamatan N.07".Dia seolah-olah mengiyakan apa yang dikatakan oleh lelaki india tadi.

Kemudian, dari tempat mengira undi tadi, kelihatan dua orang laki berjalan keluar ke pintu pagar sekolah tersebut.Jelas yang mereka itu adalah petugas BN lantaran daripada baju dan jaket mereka. Saya cuba-cuba merapati dan mendengar perbualan mereka. Selepas beberapa lama 'mencuba', satu berita gembira untuk PKR.Rupa-rupanya hasil pengiraan sebentar tadi yang melibatkan saluran 1 di peringkat DUN, PKR menang dengan majoriti tipis.Satu petanda baik mungkinnya.
Saya mengesahkan hal ini dengan petugas keselamatan tadi.Beliau mengiyakan.Dan satu rahsia yang menarik dikongsinya.Mereka memang menjangka BN akan kalah tetapi bukan di peringkat DUN tetapi di peringkat parlimen. Saya sudah menjangkakan hal ini. Efek HINDRAF sememangnya 'TRAUMA' kepada parti pemerintah.Hal ini boleh dilihat kepada keputusan PRU di peringkat DUN dan PARLIMEN di atas.PKR menang majoriti sebanyak 1466 manakala di peringkat DUN pula BN menang majoriti sebanyak 2,179 undi.
Kenapa berlaku perubahan undi ini?Kenapa pula BN menang di DUN manakala sebaliknya di parlimen?

Friday, February 29, 2008

Polemik 'Mengumpat' menjelang pilihanraya??

Sekarang musim berkempen antara parti-parti politik.Maka riuh rendah kedengaran di kaca TV,suratkhabar radio dll menyiarkan manifesto,janji2 parti2 sebagai tarikan kepada pengundi.Tak terlepas juga antara berita yang timbul berkaitan dengan komen salah seorang pemimpin politik tanah air iaitu isu umpat-mengumpat yang dipolemikkan dan dihangatkan lagi oleh media massa.Di sini saya petik artikel pasal isu ini dari salah satu 'website'.Senang jer.Taip "umpatan yang dibenarkan."

Hukum Mendedahkan Kesalahan Pemimpin

Mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian samalah hukumnya dengan mengumpat.

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.

Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.
Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak.

Kesimpulannya adalah seperti berikut
1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.

2. Perbuatan mengumpat ( mendedahkan ) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"

4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan

Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang zalim pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:

1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin zalim pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih mereka sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin zalim ini didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru,
maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan yg zalim pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:
وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telahpun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.
Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.

3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari ini kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup
Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran.
Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

Sunday, January 20, 2008

Sosialis kanan:Satu Pandangan













Mungkin tajuk post ini nampak sensitif.Tapi bukanlah bertujuan untuk menempis mahupun menjatuhkan air muka mana-mana pihak ataupun individu.Dalam kerangka Islam yang membuka pergeseran ataupun perselisihan pendapat seperti Ulama'-Ulama' mazhab terdahulu dan dalam kerangka demokrasi yang membenarkan freedom of speech ataupun kebebasan bersuara tetapi mestilah dilakukan dengan penuh tanggungjawab terhadap apa yang diucapkan mahupun tulisan maka saya terpanggil untuk memberi satu komentar yang mungkin cetek dan tidak sempurna bawaannya lantaran kekhilafan mahupun kelemahan saya selaku hambaNya yang biasa dan ilmu pengetahuan yang cukup rendah.









Sebelum kita pergi kepada tajuk besar perbincangan, elok kiranya kita melihat asal usul aliran dan ideologi sosialis sendiri.Ditakuti kita akan membincangkan hal yang salah dan menembak jauh daripada sasaran kerana kita tidak kenal apa itu sosialisme/sosialis.


Definisi dan konsep sosialis ini saya ambil daripada wikipedia.Lagipun saya ini bukanlah pelajar yang ahli tentang konsep isme-isme ini.Jadi secara mudahnya untuk kita sama-sama faham, kita kaji dan faham-fahamkan penerangan di bawah.





Istilah 'sosialisme' ataupun sosialis membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan perkara-perkara di bawah;




a) ideologi ataupun kelompok ideologi

b) sistem ekonomi

c) negara


Disepakati lahirnya sosialisme ini rentetan pergolakan kaum buruh industri dan buruh tani pada abad ke-19 dan ke-20, yang berdasarkan prinsip solidaritas dan memperjuangkan masyarakat egalitarian(classless society), yang dengan sistem ekonomi, menurut mereka, dapat melayani masyarakat kebanyakan.




Secara terperinci, Muhammad Nuruddin Bashah dari UM menyatakan sosialisme ini berasal daripada perkataan latin Socius yang bermaksud teman, kawan atau sahabat. Aspirasi sosialisme ini adalah berasal daripada tabiat mahabbah, sikap cintakan persekeliling, bermesyuarat serta sikap toleransi kepada masyarakat. Fahaman ini amat bertentangan dengan sikap individualisme yang mementingkan diri semata-mata.


Sosialis:Ada dalam Islam??











Nuruddin dalam artikelnya Islam dan Sosialisme menyatakan antara bukti adanya sosialisme dalam islam ialah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”
(Al Hujurat : 11)

Perlakuan dan akhlak yang diajar oleh islam sudah awal lahirnya daripada sosialisme kira-kira 1429 tahun dahulu berdasarkan perkiraan hijrah.
Mengenai konsep kehidupan manusia Islam turut mempromosikan konsep;
  • Kemerdekaan manusia
  • Kebebasan bersuara
  • Sikap dermawan dalam hal sedekah dan zakat.
  • Persaudaraan Islam tanpa mengira ras.
  • Sikap keuntungan yang diagihkan kepada setiap manusia melalui sistem ekonomi Islam yang adil
Dalam sebuah negara islam,antara perlaksanaan sosialisme mencakupi hal-hal seperti di bawah;

  • Negara yang mementingkan produk untuk kegunaan rakyat terlebih dahulu terutama pakaian dan makanan yang asasi.
  • Negara membenarkan pemilikan syarikat tetapi memantau keuntungan dan cara perniagaan agar tiada unsur kezaliman serta menegaskan perihal zakat.
  • Pengeluaran barangan dan pengedarannya dilaksanakan secara saksama.
  • Setiap warga negara yang sihat wajib bekerja dan tiada subsidi hayat bagi yang tidak berusaha. Disini saranan berdikari yang diterapkan oleh Rasulullah perlu dipraktikkan.
  • Segala kajian sains, kesenian, kebudayaan, norma kehidupan dan sistem pendidikan perlulah digarapkan agar tidak menghasilkan masyarakat yang lesu serta tidak berkebolehan. Sebaliknya pembinaan manusia yang produktif, progresif dan berpotensi amatlah perlu. Rasulullah sendiri cintakan golongan yang sihat dan kuat dikalangan sahabatnya.

  • Segala ketidakadilan dan kezaliman perlu diadili secara saksama tanpa mengira ras.




Tidak perlu saya huraikan lagi kerna jelas disepakati unsur-unsur sosialisme sudah terkandung dalam Islam.






















"Kalau sudah bagus sosialis ini,kenapa pula kita tak pakai je sosialis ini?"






















Firman Allah SWT;











Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.






















(Al-Baqarah:138)






















Sibghah bermaksud celupan Allah. Celupan Allah ialah Islam dan tiada lain melainkan islam. Allah lah yang menciptakan manusia dan Dia Maha TAHU segala ciptaannya.
Kehendak,sifat,keinginan malahan kejahatan manusia itu sudah dimaklumi olehNya.Akan tetapi atas sifat Kasih sayang Allah,Dia tidak membiarkan manusia terumbang ambing,sesat tanpa petunjuk.Dengan itu,Allah menurunkan nabi-nabi dan kitab-kitab sebagai panduan kepada manusia. Itulah ISLAM yang mengatur seluruh kehidupan manusia.Itu yang kita kena promosikan kepada seluruh makhluk bernama manusia akan kemakmuran dan kehebatan Islam mengatasi yang lain.
"Islam adalah tinggi tiada yang lebih tinggi daripadanya"
TGA Hadi dalam bukunya bertajuk Islam;Fikrah,Harakah dan Daulah menyatakan;
"Sebagai tindak balas drpd teori kapitalis itu lahirlah teori sosialis. Teori ini pada keseluruhannya sama ada revolusi atau evolusi berpendapat bahwa pengeluaran itu sepatutnya menjadi milik umum, dan individu hanya mendapat sekadar kerja yang dilakukan kepada kepentingan umum. Oleh kerana itu sumber-sumber pengeluaran itu dimilik negarakan, atau dikawal serapi-rapinya. Cara ini sebagai usaha untuk menghapuskan sifat ananiyah yang ada pada manusia. Maka berlakulah penyelewengan di kalangan rakyat. Apabila kepentingan peribadi tidak ada, menjejaskan semangat kerja dan menghapuskan perasaan tanggungjawab. Perkembangan ekonomi akan merosot,dan keadaan ini jelas dilihat apabila negara sosialis terpaksa melonggarkan sekatan milik kepada kapitalis kecil dan langkah mengubahsuaikan sosialis walaupun terpesong dari prinsip sosialis yang sebenarnya"


Sejarah sudah menunjukkan jatuhnya kerajaan sosialis Soviet Union pada 1992 dan azabnya rakyat di bawahnya lantaran terpesongnya sosialis dan tempangnya pemikiran manusia tanpa berlandaskan syariat,petunjuk Ilahi.
Saya juga ingin memetik kata-kata yang cukup tegas dan jelas daripada tokoh agung pemikiran ikhwan iaitu Syed Qutb,dalam bukunya Maa'lim Fi Al-Thoriq,Petunjuk Sepanjang Jalan.
"Adalah menjadi suatu kewajipan kita untuk tidak membiarkan umat manusia
terus menerus dikelirukan. Kita berkewajipan memberi pengertian kepada mereka bahawa Islam itu bukanlah hanya suatu aliran fikiran atau isme mengenai realiti kehidupan manusia, seperti isme-isme yang lahir sekarang (umpamanya sosialisme,komunisme, kapitalisme dll); sebab Islam bukanlah hanya sekadar suatu sistem yang mengenai realiti manusia sahaja, seperti halnya isme-isme bikinan manusia.Islam adalah Islam. Islam dengan keperibadiannya tersendiri dan konsepnya yang bebas dan tidak terikat kepada mana-mana jua konsep duniawi. Islam sanggup dan mampu melahirkan suatu realiti yang lebih baik daripada yang diimpikan oleh umat manusia melalui isme-isme bikinan manusia sendiri itu. Islam yang tinggi nilainya, yang suci dan murni, terpancar indah dari sumber asli: langsung.daripada Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung."
Beliau juga tutut menyeru kepada semua para pencinta islam untuk menyatakan dengan terang dan jelas dalam responnya kepada kepada pemikiran jahiliah seperti isme-isme ini iaitu;

"Dasar jahiliyah yang tuan-tuan sedang hayati ini adalah najis dan, Allah hendak mensucikan tuan-tuan. Realiti hidup tuan-tuan adalah kotor maka Allah mahu membersihkannya. Mutu hidup tuan-tuan sangat rendah oleh sebab itu Allah hendak mengangkatnya. Tuan-tuan sekarang sedang hidup dalam penderitaan, kepicikan dan kesempitan, maka Allah mahu meringankan beban itu dan Islam akan mengubah konsep hidup tuan-tuan, realiti dan nilai tuan-tuan dan akan mengangkat darjat hidup tuan-tuan ke suatu taraf yang tuan-tuan tidak mungkin mencapainya melalui realiti hidup jahiliyah ini.
Sendainya tuan-tuan tidak dapat mengerti tentang konsep ini kerana disekat oleh musuh- musuh Islam yang bekerja tidak berhenti-hentinya membanting tulang, menghalang dari wujudnya hidup cara Islam itu, maka ketahuilah bahawa kami telah dapat melihatnya melalui hati kami, terpahat indah melalui Al-Quran kami dan melalui sejarah dan konsep kami bagi menempuh zaman depan yang gemilang,yang tidak kami ragui sedikit pun."
Kalau dibaca dengan penuh keinsafan dan kebenaran,saya sendiri merasai kehebatan pengertian di atas oleh dua tokoh gerakan dan konsep ISLAM itu sememangnya melebihi konsep yang lain dan betapa universalnya ISLAM bukanlah hanya merangkumi sesetengah isu ataupun realiti hidup semata-mata.

Sosialis Kanan:Apa Keuntungannya?
Saya tidak menafikan sosialisme ada dalam Islam . Terdapat juga pihak yang cuba "mengislamisasikan" sosialis dengan menjadikan islam sebagai panduan dan mengambil pendekatan sosialis dalam usaha menegakkan kebenaran dan menegakkan nasib masyarakat proletariat ataupun marhaen. Namun demikian pada pendapat saya yang tak pandai ini ada beberapa perkara yang patut diperhalusi dan dipertimbangkan sebelum menempel Islam pada sosialis.

a) Menguntungkan sosialis

Menampakkan sosialis sebagai penyelesai masalah ummah dan mengambil islam sebagai tunjang gerakan seolah-olah menyembunyikan Islam dan ia merupakan tindakan yang menguntungkan pihak-pihak sosialis. Lantaran syiar yang diangkat ialah sosialis dan hanya menampakkan Islam ini hanyalah berteori semata-mata namun nampaknya kita terpaksa meminjam pendekatan lain sebagai penyudah kepada Islam. Bukankah sudah jelas Islam itu penyesai kepada masalah fitrah manusia. Islam itu bersifat Rabbani,Universal(Alamiyyah), Keadilan Mutlak untuk semua manusia dll. Sila rujuk tulisan di atas.(Cadangan saya :Rujuki buku Maza Ya'ni Intima' Lil Islam karangan Ust Fathi Yakan.Kalau tiada,boleh pinjam dari saya ataupun beli dari Lujnah Ekonomi RM.. =) )

b) Islamophobia??
Ditakuti orang bukan Islam akan takut kepada kita sekiranya menggunakan perkataan Islam pada pembawaannnya.Saya merasakan orang yang menyatakan sedemikian rupa telah diserang virus islamophobia dalam diri dia walaupun dia adalah orang Islam.

Saya pernah bertemu dengan seorang pelajar Cina dalam satu konferens di Kajang. Kami membincangkan hal berkaitan perpaduan mahasiswa dan peranan mahasiswa dalam mendepani isu-isu semasa kelolaan Youth For Change(Y4C).Secara jujurnya dia menghormati tokoh-tokoh Islam di Malaysia seperti TGA Nik Aziz,Ust. Nasharudin dll. Ini kerana dia melihat keindahan dan keadilan Islam sudah terbukti dan dipraktikkan.

Dalam contoh yang lain, seorang Ustaz bernama Ustaz Zul yang menetap di Pandan Indah pernah bercerita kepada saya pengalaman beliau dalam isu ini. Beliau pernah menolong dan menghantar seorang lelaki cina yang sedang berjalan kaki dengan menaiki motor skuternya ke rumahnya dan dalam keadaan itu dia sedang berjubah dan berserban!!. Bayangkan orang Cina duduk menumpang dan menerima tawaran seorang yang berjubah dan berserban,duduk rapat di belakangnya atas motor skuter walhal kalau nak dikatakan jubah dan serban itu selalunya orang mengaitkan dengan terroris!. Tetapi terbukti sebenarmya kita yang takut dengan bayang-bayang kita sendiri.

d) Matlamat dan cara pendekatan sosialis


Seperti mana yang didefinisikan secara ringkas dalam wikipedia di atas tadi, ada tiga perkara berhubungan dengan sosialis iaitu ideologi dan kumpulan ideologi, sistem ekonomi dan negara.Dengan mengambil pendekatan sosialis maka apakah yang dilakukan dan diimani oleh sosialis dalam ketiga-tiga aspek di atas?
Sebagai contoh pendekatan sosialis dalam mengatasi masalah jurang ekonomi akibat sistem kapitalis ialah dengan memperjuangkan masyarakat egalitarian iaitu tiada kelas dalam sistem masyarakat.Mahu tidak mahu pendekatan sosialis adalah seperti itu.Itulah perjuangan mereka yang mana akan menafikan sifat ananiyah dan rasa tanggungjawab dalam masyrakat dan hal ini bertentangan dengan konsep Islam seperti yang dihuraikan di atas.
Sekiranya islam menjadi paksi perjuangan,maka adakah dengan mengubah konsep ini kepada konsep zakat ataupun nama lain diberi kepada zakat dgn bertujuan untuk 'rebranding' zakat (supaya masyrakat bukan islam tidak takut !) yang mana 'zakat sosialis' ini dapat merapatkan jurang ekonomi semua golongan, maka langkah inikah yang akan diambil oleh seorang pemerintah berfahaman sosialis kanan?
Apa bezanya dengan perlaksanaan zakat dalam islam yang sememangnya 'ibu' kepada kelahiran konsep zakat dan sedekah itu?
Suka saya paparkan satu petikan drpd Malaysia Thinkthank London berkaitan zakat dan usaha meningkatkan perolehan diri yang bertentangan dengan sosialis;
Zakat ialah aktiviti kebajikan yang dilakukan secara suka rela. Zakat tidak memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk menjadikan harta dan kekayaan rakyat sebagai milik negara untuk dibahagi-bahagikan.
John Thomas Cummings, Hossein Askari dan Ahmad Mustafa dalam kajian ilmiah mereka bertajuk "Islam dan Cabaran Ekonomi Moden" menyatakan bahawa ;
"Zakat pada dasarnya ialah satu tindakan suka rela yang melambangkan sifat taqwa dan ia tidak sama dengan pengalaman pembayar cukai zaman sekarang apabila berhadapan dengan kenaikan levi dan peraturan yang kompleks."

Mereka menambah lagi "Islam juga tidak menjurus ke arah perancangan sistem ekonomi atau harga seperti yang diajarkan oleh sistem Marxisme".

Tambahnya lagi dalam pencarian rezeki individu;

Rasulullah s.a.w. pernah diminta untuk menentukan harga barangan yang dijual di pasaran kerana pada masa itu terdapat pedagang yang menjual barangan dengan harga terlalu tinggi. Baginda s.a.w. menolak permintaan tersebut.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi, Anas bin Malik menyatakan bahawa "Apabila beberapa orang bertemu Nabi Muhammad s.a.w. dan meminta Baginda s.a.w. menetapkan harga barangan di pasaran, Baginda s.a.w.menolak seraya berkata
"Allah menetapkan sesuatu keperluan dan Allah yang menentukan harga."
Tidak salah jika kita nyatakan bahawa terdapat sedikit unsur persamaan antara kejadian tersebut dengan konsep "invisible hand" yang dipopularkan oleh Adam Smith.

Terdapat hadith-hadith lain yang meraikan perdagangan, usaha mencari keuntungan dan juga usaha mencari kesenangan dalam hidup. Seperti mana yang dikatakan oleh Maxime Rodinson, "Muhammad bukan seorang sosialis."

Yang terakhir,dapatkah golongan ataupun kelompok sosialis dapat menerima sosialis kanan ini kerna mereka mempunyai dasar berbeza ?Bolehkan golongan yang mempunyai fahaman sosialis kanan ini dapat ' meleburkan diri'(baca : intima') dalam kumpulan sosialis kini lantaran dasarnya pun sudah berbeza?
Kita kena bangga dengan ISLAM.Bersyukur dengan ISLAM dan itulah nikmat yang terbesar.Pesanan terutama kepada diri saya dan pemuda-pemudi yang lain, jadilah aset-aset bernilai ISLAM iaitu pemuda-pemudi yang sentiasa menegakkan islam dalam diri dan menzahirkan dan mengembangkan nilai perjuangan ISLAM di mana - mana sahaja kita berada.
Pergilah demo,pergilah persidangan dan mana-mana perbincangan lokal mahupun internasional, beraktivitilah bersama mana-mana golongan mahupun kumpulan tetapi jadilah kita seorang promoter ISLAM yang baik kerna kita meyakini masa depan dunia di tangan ISLAM sendiri.
Kenapa,tak percaya?
Saya tinggalkan satu pesanan kepada pembaca supaya kita merenungnya sedalam mungkin mudah-mudahan petunjuk Allah bersama kita,InsyaAllah.






Wallahua'lam.
p/s saya pun pelik juga dengan tokoh yang mendokong sosialis ini sebab fahaman sosialis ini mengutamakan toleransi sesama masyarakat tetapi lihatlah kebobrokan dia juga kat sini.