Saturday, January 12, 2008

Terengganu Sudah Maju?

Timbalan Perdana Menteri,Dato' Seri Najib Abd. Razak dalam Utusan hari ini dipetik berkata bahawasanya rakyat Negeri Terengganu sudah mempunyai kuasa beli yang tinggi berdasarkan harga barangan terkini di pasaran.Saya ada letakkan kata-katanya yang asli di bawah.

"Katanya, salah satu aspek yang agak ketara apabila rakyat negeri
ini mempunyai kuasa beli yang tinggi iaitu terdapat songket dan batik yang dijual di pasaran sudah mencecah harga antara RM800 hingga RM1,200 sehelai.‘‘Malah ada songket dikenakan harga RM20,000...ini bukan soal harga tetapi ia mempunyai hubung kait dengan kuasa beli, kalau kita kenakan harga tinggi, jika rakyat tak mampu beli maka ia tidak ada guna,‘‘Jadi jika harga mahal dijual dan ada pembeli maka ertinya Terengganu sudah mempunyai kuasa beli yang tinggi,” kata beliau lagi."

Katanya lagi sebagai mengambil contoh harga songket yang mencecah antara RM 800 hingga ke RM 20,000 sudah menjadi satu indikator yang jelas bahawa rakyat negeri tersebut sudah mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Pandangan saya mungkin berbeza sedikit dengan orang kedua negara kita ini.Hujah yang beliau berikan seolah-olah cukup mudah dan dangkal sekali.Adakah dengan mengambil contoh harga kain songket tersebut sudah boleh menunjukkan kemampuan kuasa beli penduduk di negeri Terengganu Islam Hadhari itu?Dan kemungkinan hanya sesetengah golongan sahaja yang mampu dan bertindak secara waras membelanjakan sebanyak RM 20,000 hanya semata-mata untuk sepasang songket walhal kita boleh memiliki pelbagai barangan dengan RM 20,000 itu terutamanya dalam keadaan terdesak kini.


Fikrah Kita

Pada hemat saya yang kerdil ini, sekiranya beliau mengambil perbandingan sedemikian rupa,maka tidak salahlah saya katakan kuasa beli RAKYAT MALAYSIA keseluruhannya sudah TINGGI dan berdaya mampu lantaran kenaikan harga barangan-barangan yang 'tertinggi' di pasaran kita kini. Sepatutnya kemampuan KUASA BELI yang TINGGI ini menggembirakan kebanyakan peniaga-peniaga kita tetapi berlaku sebaliknya.Malahan ia turut menggusarkan dan membimbangkan kebanyakan peniaga.
Mengambil contoh cadangan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia(PPRMM) untuk menghentikan penjualan roti canai pada minggu hadapan lantaran KENAIKAN HARGA TEPUNG dan KEKURANGAN BEKALAN di pasaran.

Apakah kita lupa tuntutan CUEPACS yang merupakan organisasi terbesar yang menaungi nasib 1.2 juta pekerja-pekerja awam berhubung bayaran saguhati maksimum sebanyak RM 2000 rentetan ketiadaan bonus pada tahun 2007?Walhal Pak Lah sudah mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan kerajaan lewat bulan Jun yang lepas.
Secara logikanya, kenaikan gaji itu sepatutnya menaikkan lagi daya kuasa beli di kalangan kakitangan awam dan tiadanya lagi sebarang rungutan mahupun tuntutan seperti ini. Tak sampai 3 bulan dari tarikh kenaikan gaji,CUEPACS telah menyampaikan hasrat dan tuntutan kakitangan kerajaan sendiri. Presidennya,Omar Osman dipetik berkata dalam Bernama,7 Januari 2008;

"We hope the negotiation process (for the honorarium) will be speeded up for the benefit of civil servants,".On Sept 18(2007), Cuepacs sent a memorandum asking the government to consider giving bonus or a RM2,000 honorarium to government employees irrespective of their salary grades to ease their financial burden in the face of rising costs.
"Kami berharap proses rundingan (berkaitan saguhati) akan dapat dipercepatkan untuk kebaikan kakitangan awam seluruhnya".Pada 18 September(2007), CUEPACS sudah menghantar satu memorandum menuntut agar pihak kerajaan menimbang pemberian bonus ataupun saguhati sebanyak RM 2000 kepada semua kakitangan kerajaan tidak mengira gred gaji mereka bagi mengurangkan bebanan kewangan lantaran kenaikan harga-harga barangan baru-baru ini.

Nah,jelas dan terang lagi bersuluh harga barang yang tinggi itu bukanlah petanda yang baik dan ketara untuk menunjukkan daya kuasa beli pengguna di negara kita ini.Amat mendukacitakan, hal ini sampai daripada orang ke-dua negara kita sendiri seolah-olah beliau tidak nampak(ataupun tak tahu?)betapa rakyat sekarang menderita dalam kenaikan harga barangan kini.Ditambah lagi dengan kekurangan bekalan minyak masak di beberapa buah negeri baru-baru ini sehinggakan catuan terpaksa dibuat seolah-olah kita berada di negara -negara miskin seperti Zimbabwe dan Ethiopia menambahkan lagi resah rakyat kini.
Apakah TPM tak nampak hal ini?Saya mencadangkan agar beliau memeriksa kembali kenyataan beliau ataupun merujuk hal ini kepada pakar ekonomi seperti Prof. Dr Ismail ataupun Menteri Kewangan sendiri iaitu Pak Lah. Ataupun,kalaulah Pak Lah sibuk sangat ,lagi bagus beliau rujuk kepada Timbalan Menteri Kewangan,Mohd Nor Yaakob. Janganlah hendaknya membuat kenyataan sedemikian rupa terutamanya sebagai alasan kukuh ketika suasana bahang pilihan raya makin hangat di seantero Malaya ini.Hayatilah kesusahan rakyat sekarang.
Apa komen sahabat-sahabatku dari Terengganu?

Bersambung.










No comments: