Friday, March 7, 2008

Senario PRU-12 N.07


Di Dun Batang Kali ini, berdasarkan rekod jumlah pengundi terbaru tahun ini yang berdaftar di kawasan ini ialah seramai 27,832 penduduk(saya salah seorangnya..=).Seperti dimaklumi pertembungan satu lawan satu antara Calon PKR iaitu Cikgu Nash dan Isa Abu Kassim merangkap Ketua Pemuda Hulu Selangor mewakili BN. Kedua-duanya merupakan muka baru.

Mengimbas keputusan PRU-11 2004,boleh dikatakan satu pertandingan tradisi antara PKR-BN di N.07 ini. Sedikit Data PRU yang lepas adalah seperti berikut:



Bilangan Pengundi:22,632 (Pertambahan pengundi seramai 5200 pada tahun 2008)



1.Datuk Zainal Abidin Sakom(BN-UMNO) 12,898

2. Dr Halili Rahmat (Keadilan) 4,070

Majoriti: 8,828 Jumlah Mengundi: 17,380 Peratus Mengundi: 76.80%

Rosak: 412


(1999: DATUK ZAINAL ABIDIN SAKOM: BN: Maj: 4,907)

Melihat senario 1999 dan 2004, pertambahan majoriti undi kepada BN pada tahun 2004 adalah sekali ganda iaitu sebanyak 8,828 berbanding 1999 yang hanya 4,907. Jelas senario 1999 sememangnya memberi impak yang cukup besar kepada landskap politik negara dan hasilnya penguasaan pihak pembangkang di hampir semua negeri sekurang-kurangnya satu kerusi dan penawanan Negeri Terengganu oleh PAS sendiri.



Sediki profil berkenaan Calon BN:



Nama: Mohd Isa Abu Kassim
Umur:43 tahun
Asal: Kg Melayu Rasa
Status: Berkahwin dan mempunyai empat orang anak
Akademik: Diploma Pengurusan Perniagaan,UM
Jawatan Politik: KP Hulu selangor, SU Negeri

Mungkinkah senario 1999 itu akan berulang lagi berdasarkan rentak politik negara masa kini?Sama-sama kita tunggu dan lihat .











Senario PRU-12 di Bukit Beruntung






Alhamdulillah,akhirnya dapat juga saya meluangkan sedikit masa untuk mencoret sedikit dalam blog ini yang sudah lama tidak di‘update’ ini. Memandangkan kita dalam ‘mood’ pilihanraya sekarang, maka saya tak berhajat untuk menukar mood itu sekarang.

Saya selamat tiba ke rumah sekitar pukul 7.30 malam semalam.Setelah menaiki komuter lebih kurang 15 - 20 minit dengan tiket berharga RM 1.50(saya telah ditipu di kaunter dengan membayar RM 2.50) dari Sg. Buloh ke Rawang, kemudian saya terpaksa mengambil bas dari Rawang ke Bukit Beruntung.Dengan bayaran RM 0.70, saya terpaksa bersabar dan bersesak-sesak selama 20 minit lagi untuk tiba ke Bukit Beruntung yang jauhnya lebih kurang 15-20 km.


Di dalam bas, saya sempat berbual dengan seorang perempuan Cina yang duduk di kerusi sebelah saya. Yang menariknya, tanpa memperkenalkan diri,dia bertanyakan saya tentang calon-calon pilihanraya di kawasan bukit Sentosa.Saya yang tidak ketahuan dan baru sahaja hendak ‘meneroka’ suasana pilihanraya di kawasan rumah saya hanya mengangguk dan menjawab berbasa-basi berdasarkan pembacaan saya di internet.Yang jelas, pertandingan satu lawan satu antara PKR dan BN di kawasan saya. Satu perkara yang ketara bahawasanya kaum Cina ini lebih peka dan berani ‘bersembang’ tentang pilihanrayaberbanding bangsa-bangsa lain(termasuk kaum saya sendiri!)


Buat pengetahuan, Bukit Beruntung ini terletak dalam Parlimen Hulu Selangor (P94) dan di dalam Dewan Undangan Negeri(DUN) Batang Kali (N07). Di parlimen Hulu Selangor, terdapat tiga dun iaitu Batang Kali,Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu(Seperti gambar di atas) .


P94 menyaksikan pertandingan antara Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad.Manakala di N.07,pertarungan satu lawan satu antara Mohd Isa Abu Kassim mewakili BN dan seorang Cikgu atas tiket PKR,Mohd Nashruddin Abdul Aziz.

Saya tidaklah berapa kenal kedua-dua calon ini.Tetapi berdasarkan 4 tahun saya tinggal di sini,saya tidak nampakpun sebarang perubahan yang ketara ataupun pembangunan yang selalu menjadi modal oleh parti BN bagi mendapatkan sokongan rakyat. Malahan, saya rasakan tidak terasapun dekatnya ADUN sebelum ini(Dato’ Zainal Sakom) dengan rakyat di sini melainkan mungkin sekitar musim PRU sekarang.




Begitu juga dengan calon PKR di sini.Tiada rekod pembangunan pun yang ditunjukkan.Tapi biasalah bagi sebuah parti yang bergerak atas modal sendiri berbanding BN yang menggunakan keseluruhan harta kerajaan untuk kepentingan parti. Akan tetapi, sekurang-kurangnya calon tersebut datang juga bertemu dangan rakyat selepas solat jumaat sebentar tadi.Ingin saya kongsikan sedikit profil tentang calon PKR tesebut.


Beliau berkelulusan Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat dan pernah bertugas sebagai guru,pensyarah di beberapa kolej swasta dan motivator. Antara usaha kebajikan yang beliau pernah lakukan ialah menyediakan khidmat tuisyen atas nama Pusat Pendidikan Akademik Minda.Menariknya, beliau memberikan khidmat tuisyen secara percuma untuk anak-anak yatim dan miskin di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.Sebagai tambahan,beliau telah menetap di Bukit Beruntung selama 10 tahun.


A’la Kulli Hal, perang poster yang sudah berlarutan selama hampir 2 minggu ini akan terjawab pada esok harinya.InsyaAllah saya akan berkongsi lagi perjalanan pilihanraya pada esoknya dan pengalaman selaku pengundi buat kali pertama di pusat mengundi esok.


Buatlah pilihan yang bijak!!Tolaklah Calon dan Parti yang membawa kesengsaraan Negara. Selamat Mengundi!!



Lensa Kamera di BB




Calon PKR Rombongan BN










Kibaran BN




Panji berkibar di mana saja











Thursday, March 6, 2008

Cenderamata PRU

Assalamualaikum wbt/ Salam Sejahtera .
Sedikit perkongsian gambar yang saya dapat dari emel.Mungkin mana-mana yang pandai analyze gambar boleh check yang gambar ini asli ke atau dibuat2...=)

Friday, February 29, 2008

Polemik 'Mengumpat' menjelang pilihanraya??

Sekarang musim berkempen antara parti-parti politik.Maka riuh rendah kedengaran di kaca TV,suratkhabar radio dll menyiarkan manifesto,janji2 parti2 sebagai tarikan kepada pengundi.Tak terlepas juga antara berita yang timbul berkaitan dengan komen salah seorang pemimpin politik tanah air iaitu isu umpat-mengumpat yang dipolemikkan dan dihangatkan lagi oleh media massa.Di sini saya petik artikel pasal isu ini dari salah satu 'website'.Senang jer.Taip "umpatan yang dibenarkan."

Hukum Mendedahkan Kesalahan Pemimpin

Mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian samalah hukumnya dengan mengumpat.

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.

Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.
Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak.

Kesimpulannya adalah seperti berikut
1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.

2. Perbuatan mengumpat ( mendedahkan ) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"

4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan

Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang zalim pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:

1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin zalim pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih mereka sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin zalim ini didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru,
maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan yg zalim pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:
وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telahpun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.
Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.

3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari ini kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup
Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran.
Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

Tuesday, February 5, 2008

Politik dan Islam:Jangan Keliru!!

1. Ada ke Politik dalam Islam?

A) Dalil Al-Quran

Politik dalam bahasa Arab disebut sebagai siasah.Menurut bahasa ditakrifkan sebagai sasa- yasusu-siasatan wa riasah yang membawa maksud tadbir,perintah ataupun mengetuai.
Dalam surah Al-Baqarah: 30;





Imam Al-Mawardi telah menafsirkan peranan khalifah sebagai pentadbir bumi bagi mengelakkan berlakunya kerosakan. Dalam Kitab Al-Ahkam Sultaniyyah, Al-Mawardi menggariskan peranan khalifah sebagai mentadbir urusan manusia dan urusan dunia (siasah) dengan syariat Deen


B) Sirah Nabi



Kita lihat sirah perjalanan Baginda Nabi Muhammad S.A.W. ketika mana baginda menubuhkan Negara Islam pertama di dunia iaitu Madinah Al-Munawwarah. Nabi ketika itu bukan sahaja bertindak sebagai seorang penyampai risalah kenabian,mengajak kea rah ma’ruf dan mecegah kemungkaran akan tetapi baginda juga merupakan seorang pemimpin politik /pentadbir Negara.Kalau di sini,kita boleh katakan Dato’ Seri Perdana Menteri. Kemudian,disusuli dengan pengisytiharan Perlembagaan Madinah ataupun Sahifah Madinah sebagai teras pentadbiran kerajaan Madinah pada masa itu

C) Hadith

Hadis ke -34,dalam Matan Arbain karangan Imam Muhyidin abu Zakariyya Yahya Bin sharif Al-Nawawi ;


“ Dari Abi Sa’id al-Khudri RA katanya;Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya.Jika sekiranya ia tidak berkuasa,maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya.Sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemahnya iman.”


Riwayat oleh Muslim

Dalam kitab itu turut disyarahkan peringkat-peringkat mencegah kemungkaran.Peringkat yang tertinggi sekali itu dinyatakan secara jelas dengan menggunakan tangan yakni dengan kekuatan atau dengan kekuasaan orangnya menurut cara yang berkesan.

Hal ini merujuk kepada kuasa pentadbiran.Dalam konteks Negara maka ia akan berkaitan dengan sistem pemerolehan kuasa tersebut sama ada melalui perlantikan mahupun pilihan raya.Pokoknya,ia menyentuh tentang sistem politik ataupun sistem pentadbiran sesebuah Negara/negeri/kawasan/masyarakat.

D) Pendapat Imam

D1. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawasanya

“Ad-Dinul usul wa sultanun harisun”

Maksudnya: Agama itu pokok dan pemerintah itulah penjaganya.

D2. Ibnu Taimiyyah di dalam bukunya "Assiyasah al-Syariyyah" menyatakan:

“Mengendalikan urusan orang ramai (rakyat) adalah kewajipan agama yang besar, dan agama tidak mungkin ditegakkan kecuali dengan kekuasaan memerintah”

D3. Ghiyas al-umam ditegaskan:

“Apabila menyempurnakan jenazah orang mati dikira sebagai fardu kifayah, maka mengendalikan urusan hidup mereka adalah lebih penting dan utama.Sesungguhnya Islam begitu sekali memerlukan kerajaan yang dapat berfungsi menegak dan memelihara agama, maka mewujudkan kerajaan Islam adalah sesuatu yang wajib untuk tujuan mengawal aqidah, mendirikan solat dan menghukum mereka yang meninggalkan rukun Islam, juga untuk tujuan mengawal negara, manusia dan kehormatan mereka (hudud) juga melakukan jihad, mendidik umat Islam, dan menegakkan sistem politik, ekonomi dan kebudayaan islam“
(Lihat Dr Mustafa Farghali: "Fi wajh al-Muamarah `Ala Tatbiq al-Syariah al-Islamiyyah")

Maka amat penting dalam kita mengambil secara syumulnya Islam.Dakwaan liar dan tidak bertanggungjawab mengatakan politik tidak ada dalam islam adalah satu usaha pemisahan Islam daripada elemen kehidupan manusia dan ini merupakan usaha pensekularan yang dipelopori oleh golongan sekular sejak dahulu lagi seperti Syeikh Abdul Raziq di Mesir dll.

Amatlah bertepatan dengan salah satu sifat Islam iaitu syumuliah iaitu sempurna yakni Islam itu sifatnya mencakupi seluruh kehidupan manusia. Sesuai dengan gesaan Allah SWT;




2. Ada ke undi dalam islam?

Ingin saya petik daripada laman web ustaz zaharuddin(UZAR) berkenaan isu pilihanraya. Beliau menyatakan dalam lamannya;



Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau “Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah” menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).



Lalu dalam hal ini maksud pilihanraya yang utama adalah proses melantik pimpinan yang diyakini rakyat. Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas menerima dan sememangnya Rasulullah SAW di permulaan dakwah juga melakukan kempen serta lobi bagi menerangkan kepada rakyat Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut Islam.



Mengenai kaedah mengundi bagi urusan pilihanraya, ia juga diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat’ie yang melarang, perlu difahami kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya : “Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma’ani (maqasid)”. (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).


Maka urusan hubungan politik seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.



Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini apatah lagi ia boleh di ‘qias’ kan dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :

وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق
(At-Thalaq:2)
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dr kalangan kamu”

Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap penerintah yang dipilihnya dari sudut Islam, kebaikan dan kelayakan si calon, dan Islam meletakkan pertimbangan undian atau kesaksian tidak boleh kerana lain dari Allah sebagaimana firman Allah :



Mafhum : “Berikanlah penyaksian kerana Allah….”(Thalaq:2)



Kesimpulannya kaedah mengundi itu adalah selaras dengan kehendak syara’ dan tidak tidak ada pertentangan walaupun ia merupakan perkara baru dalam hal keduniaan ini.


3. Kenapa saya WAJIB mengundi?

“dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Al-Baqarah:283)

Dalil di atas menggesa kepada kita supaya tidaklah kita menyembunyikan penyaksian kita.Sekiranya dibawa kepada konteks mengundi, maka perintah mengundi(memberi kesaksian) itu boleh dikatakan sampai ke peringkat wajib kerana wajibnya memilih pimpinan yang selayaknya serta dapat berlaku adil.




Seperti mana dijelaskan lagi oleh UZAR;


Amat jelas terang lagi nyata, sikap Islam dalam hal penyaksian (yang boleh meliputi undian dan pilihanraya) adalah harus malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang bertaqwa dan ingin melaksanakan Islam.


Manakala sekiranya Islam memerintah, sistem tersebut boleh diteruskan, cuma perlu diletak beberapa syarat dan panduan, insyaAllah ia akan bertepatan dengan Islam sepenuhnya.

4. Bukankah demokrasi itu tidak ada dalam Islam tetapi dari barat?



Sememangnya demokrasi bukan lah dari Islam akan tetapi seperti mana yang pernah ditegaskan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi bahawasanya kita bukanlah beriman dengan sistem ini akan tetapi inilah cara yang terbaik berbanding cara lain seperti revolusi dan tindakan ketenteraan bagi menegakkan sistem pemerintahan yang memelihara dan mendokong islam sendiri.Saya paparkan sendiri kata-katanya yang cukup tegas dan mapan untuk sama -sama kita fahami;



"DENGAN SYARAT HANYA MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK PERUNDANGAN MILIK ALLAH"
(Min Fiqh Ad-Dawlah Fil Islam, Al-Qaradhawi, hlm 140)



Wallahua'lam.


Maka secara tuntasnya haruslah kita memahatkan kefahaman bahawasanya politik adalah salah satu juzu' dalam Islam itu sendiri. Lantaran itu, pegangan jahiliah sekularisme yang cuba menidakkan ketidaksempurnaan islam haruslah kita kikis dalam diri kita.


Apa lagi,laksanakanlah kewajipan anda selaku muslim dan rakyat Malaysia!

Sunday, January 20, 2008

Sosialis kanan:Satu Pandangan













Mungkin tajuk post ini nampak sensitif.Tapi bukanlah bertujuan untuk menempis mahupun menjatuhkan air muka mana-mana pihak ataupun individu.Dalam kerangka Islam yang membuka pergeseran ataupun perselisihan pendapat seperti Ulama'-Ulama' mazhab terdahulu dan dalam kerangka demokrasi yang membenarkan freedom of speech ataupun kebebasan bersuara tetapi mestilah dilakukan dengan penuh tanggungjawab terhadap apa yang diucapkan mahupun tulisan maka saya terpanggil untuk memberi satu komentar yang mungkin cetek dan tidak sempurna bawaannya lantaran kekhilafan mahupun kelemahan saya selaku hambaNya yang biasa dan ilmu pengetahuan yang cukup rendah.









Sebelum kita pergi kepada tajuk besar perbincangan, elok kiranya kita melihat asal usul aliran dan ideologi sosialis sendiri.Ditakuti kita akan membincangkan hal yang salah dan menembak jauh daripada sasaran kerana kita tidak kenal apa itu sosialisme/sosialis.


Definisi dan konsep sosialis ini saya ambil daripada wikipedia.Lagipun saya ini bukanlah pelajar yang ahli tentang konsep isme-isme ini.Jadi secara mudahnya untuk kita sama-sama faham, kita kaji dan faham-fahamkan penerangan di bawah.





Istilah 'sosialisme' ataupun sosialis membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan perkara-perkara di bawah;




a) ideologi ataupun kelompok ideologi

b) sistem ekonomi

c) negara


Disepakati lahirnya sosialisme ini rentetan pergolakan kaum buruh industri dan buruh tani pada abad ke-19 dan ke-20, yang berdasarkan prinsip solidaritas dan memperjuangkan masyarakat egalitarian(classless society), yang dengan sistem ekonomi, menurut mereka, dapat melayani masyarakat kebanyakan.




Secara terperinci, Muhammad Nuruddin Bashah dari UM menyatakan sosialisme ini berasal daripada perkataan latin Socius yang bermaksud teman, kawan atau sahabat. Aspirasi sosialisme ini adalah berasal daripada tabiat mahabbah, sikap cintakan persekeliling, bermesyuarat serta sikap toleransi kepada masyarakat. Fahaman ini amat bertentangan dengan sikap individualisme yang mementingkan diri semata-mata.


Sosialis:Ada dalam Islam??











Nuruddin dalam artikelnya Islam dan Sosialisme menyatakan antara bukti adanya sosialisme dalam islam ialah;

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”
(Al Hujurat : 11)

Perlakuan dan akhlak yang diajar oleh islam sudah awal lahirnya daripada sosialisme kira-kira 1429 tahun dahulu berdasarkan perkiraan hijrah.
Mengenai konsep kehidupan manusia Islam turut mempromosikan konsep;
  • Kemerdekaan manusia
  • Kebebasan bersuara
  • Sikap dermawan dalam hal sedekah dan zakat.
  • Persaudaraan Islam tanpa mengira ras.
  • Sikap keuntungan yang diagihkan kepada setiap manusia melalui sistem ekonomi Islam yang adil
Dalam sebuah negara islam,antara perlaksanaan sosialisme mencakupi hal-hal seperti di bawah;

  • Negara yang mementingkan produk untuk kegunaan rakyat terlebih dahulu terutama pakaian dan makanan yang asasi.
  • Negara membenarkan pemilikan syarikat tetapi memantau keuntungan dan cara perniagaan agar tiada unsur kezaliman serta menegaskan perihal zakat.
  • Pengeluaran barangan dan pengedarannya dilaksanakan secara saksama.
  • Setiap warga negara yang sihat wajib bekerja dan tiada subsidi hayat bagi yang tidak berusaha. Disini saranan berdikari yang diterapkan oleh Rasulullah perlu dipraktikkan.
  • Segala kajian sains, kesenian, kebudayaan, norma kehidupan dan sistem pendidikan perlulah digarapkan agar tidak menghasilkan masyarakat yang lesu serta tidak berkebolehan. Sebaliknya pembinaan manusia yang produktif, progresif dan berpotensi amatlah perlu. Rasulullah sendiri cintakan golongan yang sihat dan kuat dikalangan sahabatnya.

  • Segala ketidakadilan dan kezaliman perlu diadili secara saksama tanpa mengira ras.




Tidak perlu saya huraikan lagi kerna jelas disepakati unsur-unsur sosialisme sudah terkandung dalam Islam.






















"Kalau sudah bagus sosialis ini,kenapa pula kita tak pakai je sosialis ini?"






















Firman Allah SWT;











Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.






















(Al-Baqarah:138)






















Sibghah bermaksud celupan Allah. Celupan Allah ialah Islam dan tiada lain melainkan islam. Allah lah yang menciptakan manusia dan Dia Maha TAHU segala ciptaannya.
Kehendak,sifat,keinginan malahan kejahatan manusia itu sudah dimaklumi olehNya.Akan tetapi atas sifat Kasih sayang Allah,Dia tidak membiarkan manusia terumbang ambing,sesat tanpa petunjuk.Dengan itu,Allah menurunkan nabi-nabi dan kitab-kitab sebagai panduan kepada manusia. Itulah ISLAM yang mengatur seluruh kehidupan manusia.Itu yang kita kena promosikan kepada seluruh makhluk bernama manusia akan kemakmuran dan kehebatan Islam mengatasi yang lain.
"Islam adalah tinggi tiada yang lebih tinggi daripadanya"
TGA Hadi dalam bukunya bertajuk Islam;Fikrah,Harakah dan Daulah menyatakan;
"Sebagai tindak balas drpd teori kapitalis itu lahirlah teori sosialis. Teori ini pada keseluruhannya sama ada revolusi atau evolusi berpendapat bahwa pengeluaran itu sepatutnya menjadi milik umum, dan individu hanya mendapat sekadar kerja yang dilakukan kepada kepentingan umum. Oleh kerana itu sumber-sumber pengeluaran itu dimilik negarakan, atau dikawal serapi-rapinya. Cara ini sebagai usaha untuk menghapuskan sifat ananiyah yang ada pada manusia. Maka berlakulah penyelewengan di kalangan rakyat. Apabila kepentingan peribadi tidak ada, menjejaskan semangat kerja dan menghapuskan perasaan tanggungjawab. Perkembangan ekonomi akan merosot,dan keadaan ini jelas dilihat apabila negara sosialis terpaksa melonggarkan sekatan milik kepada kapitalis kecil dan langkah mengubahsuaikan sosialis walaupun terpesong dari prinsip sosialis yang sebenarnya"


Sejarah sudah menunjukkan jatuhnya kerajaan sosialis Soviet Union pada 1992 dan azabnya rakyat di bawahnya lantaran terpesongnya sosialis dan tempangnya pemikiran manusia tanpa berlandaskan syariat,petunjuk Ilahi.
Saya juga ingin memetik kata-kata yang cukup tegas dan jelas daripada tokoh agung pemikiran ikhwan iaitu Syed Qutb,dalam bukunya Maa'lim Fi Al-Thoriq,Petunjuk Sepanjang Jalan.
"Adalah menjadi suatu kewajipan kita untuk tidak membiarkan umat manusia
terus menerus dikelirukan. Kita berkewajipan memberi pengertian kepada mereka bahawa Islam itu bukanlah hanya suatu aliran fikiran atau isme mengenai realiti kehidupan manusia, seperti isme-isme yang lahir sekarang (umpamanya sosialisme,komunisme, kapitalisme dll); sebab Islam bukanlah hanya sekadar suatu sistem yang mengenai realiti manusia sahaja, seperti halnya isme-isme bikinan manusia.Islam adalah Islam. Islam dengan keperibadiannya tersendiri dan konsepnya yang bebas dan tidak terikat kepada mana-mana jua konsep duniawi. Islam sanggup dan mampu melahirkan suatu realiti yang lebih baik daripada yang diimpikan oleh umat manusia melalui isme-isme bikinan manusia sendiri itu. Islam yang tinggi nilainya, yang suci dan murni, terpancar indah dari sumber asli: langsung.daripada Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung."
Beliau juga tutut menyeru kepada semua para pencinta islam untuk menyatakan dengan terang dan jelas dalam responnya kepada kepada pemikiran jahiliah seperti isme-isme ini iaitu;

"Dasar jahiliyah yang tuan-tuan sedang hayati ini adalah najis dan, Allah hendak mensucikan tuan-tuan. Realiti hidup tuan-tuan adalah kotor maka Allah mahu membersihkannya. Mutu hidup tuan-tuan sangat rendah oleh sebab itu Allah hendak mengangkatnya. Tuan-tuan sekarang sedang hidup dalam penderitaan, kepicikan dan kesempitan, maka Allah mahu meringankan beban itu dan Islam akan mengubah konsep hidup tuan-tuan, realiti dan nilai tuan-tuan dan akan mengangkat darjat hidup tuan-tuan ke suatu taraf yang tuan-tuan tidak mungkin mencapainya melalui realiti hidup jahiliyah ini.
Sendainya tuan-tuan tidak dapat mengerti tentang konsep ini kerana disekat oleh musuh- musuh Islam yang bekerja tidak berhenti-hentinya membanting tulang, menghalang dari wujudnya hidup cara Islam itu, maka ketahuilah bahawa kami telah dapat melihatnya melalui hati kami, terpahat indah melalui Al-Quran kami dan melalui sejarah dan konsep kami bagi menempuh zaman depan yang gemilang,yang tidak kami ragui sedikit pun."
Kalau dibaca dengan penuh keinsafan dan kebenaran,saya sendiri merasai kehebatan pengertian di atas oleh dua tokoh gerakan dan konsep ISLAM itu sememangnya melebihi konsep yang lain dan betapa universalnya ISLAM bukanlah hanya merangkumi sesetengah isu ataupun realiti hidup semata-mata.

Sosialis Kanan:Apa Keuntungannya?
Saya tidak menafikan sosialisme ada dalam Islam . Terdapat juga pihak yang cuba "mengislamisasikan" sosialis dengan menjadikan islam sebagai panduan dan mengambil pendekatan sosialis dalam usaha menegakkan kebenaran dan menegakkan nasib masyarakat proletariat ataupun marhaen. Namun demikian pada pendapat saya yang tak pandai ini ada beberapa perkara yang patut diperhalusi dan dipertimbangkan sebelum menempel Islam pada sosialis.

a) Menguntungkan sosialis

Menampakkan sosialis sebagai penyelesai masalah ummah dan mengambil islam sebagai tunjang gerakan seolah-olah menyembunyikan Islam dan ia merupakan tindakan yang menguntungkan pihak-pihak sosialis. Lantaran syiar yang diangkat ialah sosialis dan hanya menampakkan Islam ini hanyalah berteori semata-mata namun nampaknya kita terpaksa meminjam pendekatan lain sebagai penyudah kepada Islam. Bukankah sudah jelas Islam itu penyesai kepada masalah fitrah manusia. Islam itu bersifat Rabbani,Universal(Alamiyyah), Keadilan Mutlak untuk semua manusia dll. Sila rujuk tulisan di atas.(Cadangan saya :Rujuki buku Maza Ya'ni Intima' Lil Islam karangan Ust Fathi Yakan.Kalau tiada,boleh pinjam dari saya ataupun beli dari Lujnah Ekonomi RM.. =) )

b) Islamophobia??
Ditakuti orang bukan Islam akan takut kepada kita sekiranya menggunakan perkataan Islam pada pembawaannnya.Saya merasakan orang yang menyatakan sedemikian rupa telah diserang virus islamophobia dalam diri dia walaupun dia adalah orang Islam.

Saya pernah bertemu dengan seorang pelajar Cina dalam satu konferens di Kajang. Kami membincangkan hal berkaitan perpaduan mahasiswa dan peranan mahasiswa dalam mendepani isu-isu semasa kelolaan Youth For Change(Y4C).Secara jujurnya dia menghormati tokoh-tokoh Islam di Malaysia seperti TGA Nik Aziz,Ust. Nasharudin dll. Ini kerana dia melihat keindahan dan keadilan Islam sudah terbukti dan dipraktikkan.

Dalam contoh yang lain, seorang Ustaz bernama Ustaz Zul yang menetap di Pandan Indah pernah bercerita kepada saya pengalaman beliau dalam isu ini. Beliau pernah menolong dan menghantar seorang lelaki cina yang sedang berjalan kaki dengan menaiki motor skuternya ke rumahnya dan dalam keadaan itu dia sedang berjubah dan berserban!!. Bayangkan orang Cina duduk menumpang dan menerima tawaran seorang yang berjubah dan berserban,duduk rapat di belakangnya atas motor skuter walhal kalau nak dikatakan jubah dan serban itu selalunya orang mengaitkan dengan terroris!. Tetapi terbukti sebenarmya kita yang takut dengan bayang-bayang kita sendiri.

d) Matlamat dan cara pendekatan sosialis


Seperti mana yang didefinisikan secara ringkas dalam wikipedia di atas tadi, ada tiga perkara berhubungan dengan sosialis iaitu ideologi dan kumpulan ideologi, sistem ekonomi dan negara.Dengan mengambil pendekatan sosialis maka apakah yang dilakukan dan diimani oleh sosialis dalam ketiga-tiga aspek di atas?
Sebagai contoh pendekatan sosialis dalam mengatasi masalah jurang ekonomi akibat sistem kapitalis ialah dengan memperjuangkan masyarakat egalitarian iaitu tiada kelas dalam sistem masyarakat.Mahu tidak mahu pendekatan sosialis adalah seperti itu.Itulah perjuangan mereka yang mana akan menafikan sifat ananiyah dan rasa tanggungjawab dalam masyrakat dan hal ini bertentangan dengan konsep Islam seperti yang dihuraikan di atas.
Sekiranya islam menjadi paksi perjuangan,maka adakah dengan mengubah konsep ini kepada konsep zakat ataupun nama lain diberi kepada zakat dgn bertujuan untuk 'rebranding' zakat (supaya masyrakat bukan islam tidak takut !) yang mana 'zakat sosialis' ini dapat merapatkan jurang ekonomi semua golongan, maka langkah inikah yang akan diambil oleh seorang pemerintah berfahaman sosialis kanan?
Apa bezanya dengan perlaksanaan zakat dalam islam yang sememangnya 'ibu' kepada kelahiran konsep zakat dan sedekah itu?
Suka saya paparkan satu petikan drpd Malaysia Thinkthank London berkaitan zakat dan usaha meningkatkan perolehan diri yang bertentangan dengan sosialis;
Zakat ialah aktiviti kebajikan yang dilakukan secara suka rela. Zakat tidak memberikan kebenaran kepada pihak berkuasa untuk menjadikan harta dan kekayaan rakyat sebagai milik negara untuk dibahagi-bahagikan.
John Thomas Cummings, Hossein Askari dan Ahmad Mustafa dalam kajian ilmiah mereka bertajuk "Islam dan Cabaran Ekonomi Moden" menyatakan bahawa ;
"Zakat pada dasarnya ialah satu tindakan suka rela yang melambangkan sifat taqwa dan ia tidak sama dengan pengalaman pembayar cukai zaman sekarang apabila berhadapan dengan kenaikan levi dan peraturan yang kompleks."

Mereka menambah lagi "Islam juga tidak menjurus ke arah perancangan sistem ekonomi atau harga seperti yang diajarkan oleh sistem Marxisme".

Tambahnya lagi dalam pencarian rezeki individu;

Rasulullah s.a.w. pernah diminta untuk menentukan harga barangan yang dijual di pasaran kerana pada masa itu terdapat pedagang yang menjual barangan dengan harga terlalu tinggi. Baginda s.a.w. menolak permintaan tersebut.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi, Anas bin Malik menyatakan bahawa "Apabila beberapa orang bertemu Nabi Muhammad s.a.w. dan meminta Baginda s.a.w. menetapkan harga barangan di pasaran, Baginda s.a.w.menolak seraya berkata
"Allah menetapkan sesuatu keperluan dan Allah yang menentukan harga."
Tidak salah jika kita nyatakan bahawa terdapat sedikit unsur persamaan antara kejadian tersebut dengan konsep "invisible hand" yang dipopularkan oleh Adam Smith.

Terdapat hadith-hadith lain yang meraikan perdagangan, usaha mencari keuntungan dan juga usaha mencari kesenangan dalam hidup. Seperti mana yang dikatakan oleh Maxime Rodinson, "Muhammad bukan seorang sosialis."

Yang terakhir,dapatkah golongan ataupun kelompok sosialis dapat menerima sosialis kanan ini kerna mereka mempunyai dasar berbeza ?Bolehkan golongan yang mempunyai fahaman sosialis kanan ini dapat ' meleburkan diri'(baca : intima') dalam kumpulan sosialis kini lantaran dasarnya pun sudah berbeza?
Kita kena bangga dengan ISLAM.Bersyukur dengan ISLAM dan itulah nikmat yang terbesar.Pesanan terutama kepada diri saya dan pemuda-pemudi yang lain, jadilah aset-aset bernilai ISLAM iaitu pemuda-pemudi yang sentiasa menegakkan islam dalam diri dan menzahirkan dan mengembangkan nilai perjuangan ISLAM di mana - mana sahaja kita berada.
Pergilah demo,pergilah persidangan dan mana-mana perbincangan lokal mahupun internasional, beraktivitilah bersama mana-mana golongan mahupun kumpulan tetapi jadilah kita seorang promoter ISLAM yang baik kerna kita meyakini masa depan dunia di tangan ISLAM sendiri.
Kenapa,tak percaya?
Saya tinggalkan satu pesanan kepada pembaca supaya kita merenungnya sedalam mungkin mudah-mudahan petunjuk Allah bersama kita,InsyaAllah.






Wallahua'lam.
p/s saya pun pelik juga dengan tokoh yang mendokong sosialis ini sebab fahaman sosialis ini mengutamakan toleransi sesama masyarakat tetapi lihatlah kebobrokan dia juga kat sini.





























Friday, January 18, 2008

Kompeten Vs Kompetitif:Satu Perspektif

"Kompetenlah..aku dengar dulu senior cakap dulu .."

"Eh,tak silap aku kompetitif kerana kompetitif ni maksudnya berdaya saing"
Macam-macam polemik berkaitan dua perkataan ini. Sama ada anda ingin menjadi seorang yang kompeten ke kompetitif?


Baiklah.Cuba kita lihat kamus free di internet dan lihat apakah maksudnya kedua-dua perkataan ini.








Kompeten ataupun competent bermaksud;
  • properly or sufficiently qualified or capable or efficient; "a competent typist"


  • adequate for the purpose; "a competent performance"


Maksudnya ialah seseorang yang sudah mempunyai skil-skil yang berdaya mampu untuk sesuatu tujuan atau perkara.

Manakala kompetitif ataupun competitive pula bermaksud



  • involving competition or competitiveness; "competitive games"; "to improve one's competitive position"


  • subscribing to capitalistic competition


  • showing a fighting disposition; "highly competitive sales representative"; "militant in fighting for better wages for workers"; "his self-assertive and ubiquitous energy


Dalam maksud melayunya, ialah seseorang yang terlibat dalam suatu pertandingan,dan menunjukkan rasa ingin berlawan dalam sesuatu perkara.

Perkara yang paling jelas di sini ialah kedua-duanya berkait rapat dan menggambarkan daya saing serta rasa ingin bertanding dan melibatkan kemampuan individu. Namun demikian apabila kita merujuk kepada kompeten ia lebih kepada hasil dan kemampuan tersebut sudah dipunyai oleh seseorang untuk digunakan. Manakala kompetitif lebih merujuk kepada keadaan semasa dan proses itu sedang berlaku. Mudah katanya ia lebih menerangkan sifat kita sama ada kita ini berdaya saing dalam persekitaran yang kita duduki.



Sebagai contoh yang paling mudah,jualan kuih karipap. Harga yang kompetitif sebiji karipap di pasaran memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli karipap yang terbaik.



Makanya, terma yang paling sesuai untuk digunakan bagi merujuk kepada kita yang bakal bergelar graduan ialah kompeten.Lantaran melalui proses dan pengalaman yang dikutip sepanjang bergelar mahasiswa diharap dapat menjadikan diri kita kompeten yakni lengkap dengan skil-skil yang diperlukan apabila berada di luar sana bersama dengan masyarakat.Namun demikian elemen kompetitif sama sekali tidak dilupakan lantaran sifat tersebut menjadikan kita sentiasa bergerak seiring dengan peredaran masa dan zaman.

Terpulang kepada anda untuk menilai diri dan dari sudut mana yang anda lihat!!